Friday, June 5, 2009

JPJ Redah Hutan Beri Lesen





KUALA LIPIS 7 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mempunyai mekanisme khusus untuk memberi peluang kepada Orang Asli di pedalaman negeri ini memiliki lesen memandu dan kemudahan lain.


Meskipun Orang Asli tinggal jauh di pedalaman, mereka terus diberi peluang menikmati kemudahan memiliki lesen kenderaan bagi keperluan mereka.


Sejajar dengan pertambahan jumlah kenderaan bermotor dan kuasa beli mereka terhadap kenderaan semakin meningkat, kerajaan negeri dan JPJ mengambil alternatif melaksanakan program ujian memandu di kalangan Orang Asli dan warga emas daerah Lipis.


Sehubungan itu, JPJ mengadakan Program Bersama Rakyat (PBR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di sini baru-baru ini, bagi memberi peluang kepada Orang Asli di kawasan terbabit memiliki lesen memandu.


Menurut Tok Batin Orang Asli Kampung Betau, Ahmad Selalu, kerajaan menerusi JPJ perlu lebih kerap mengatur program latihan dan ujian pemanduan kepada Orang Asli di pedalaman negeri ini.


''Jarak yang jauh ke bandar dan kos yang tinggi menyukarkan Orang Asli berurusan dengan sekolah memandu di bandar Kuala Lipis dan Raub dan kekerapan ujian memandu perlu dilaksanakan di pekan Sungai Koyan," katanya.


Ahmad berkata, ramai belia Orang Asli termasuk warga emas yang mampu memiliki motosikal memerlukan lesen untuk memudahkan mereka ke bandar bagi membawa hasil kampung dan menghantar anak ke sekolah.


Seorang warga emas Orang Asli, Bah Si a/l Bah Ingar, 54, berterima kasih kepada JPJ yang meluluskan ujian memandunya dan menyifatkan ia sebagai lembaran baru dalam hidupnya.
''Sebelum ini, saya berjalan kaki berulang alik sejauh 12 kilometer untuk berbelanja di pekan Sungai Koyan dari kampung pedalaman, tetapi setelah memiliki lesen, saya akan membeli sebuah motosikal baru untuk berurusan di luar," katanya.


Bapa kepada 11 anak itu berkata, dia juga tidak pernah terbayang untuk memperoleh lesen memandu malahan tidak berhajat untuk memiliki motosikal kerana lebih selesa berjalan kaki ke pekan Sungai Koyan dan tempat lain.


Seorang lagi penduduk Orang Asli Kuala Koyan, Sabri a/l Sigon, 36, berkata, kemudahan jalan raya yang sudah sampai ke kampung mereka dan penggunaan motosikal pelbagai jenama telah membuka mata kaum minoriti itu untuk hidup selesa seperti kaum lain.


''Saya lega dan berterima kasih kepada pengajar sekolah memandu yang memberi tunjuk ajar dan pegawai JPJ yang meluluskan ujian ini. Saya gembira kerana telah menyahut kempen JPJ untuk mengambil lesen motosikal," katanya.


Beliau menambah, memiliki lesen itu memudahkannya menunggang motosikal ke merata tempat berbanding sebelum ini menaiki bot menyeberang Sungai Jelai dan menaiki bas jika berurusan di bandar Lipis dan Raub.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program turun padang JPJ di DUN Jelai untuk menyedarkan orang ramai khususnya Orang Asli supaya memiliki lesen memandu dan mengetahui peraturan keselamatan jalan raya.


Sehubungan itu, beliau meminta Orang Asli yang memiliki lesen memandu supaya lebih berhemah dan bertimbang rasa ketika memandu dan menunggang motosikal semasa di jalan raya termasuk di jalan kampung.


''Jangan hanya tahu menunggang motosikal dan memandu kereta tetapi tidak tahu peraturan jalan raya. Ini menunjukkan sikap yang tidak sesuai bagi penduduk di negara yang sudah maju seperti Malaysia," katanya.


''Kedudukan tempat tinggal yang jauh di pedalaman yang melebihi 80 kilometer dari bandar menyebabkan kerajaan dan JPJ terpanggil untuk menyediakan pengendalian ujian memandu dengan kerjasama konsortium sekolah memandu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan lesen memandu P kepada Orang Asli di DUN Hulu Jelai baru-baru ini.


Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menjelaskan, kerajaan telah menjalankan tanggungjawabnya dengan mewujudkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan mengadakan pelbagai kempen menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan jalan raya.
''Kini tanggungjawab pemandu sendiri untuk mematuhi setiap peraturan dan undang-undang iaitu memakai topi keledar dan tali pinggang demi keselamatan masing-masing dan keluarga," katanya.


Pada majlis itu, seramai 143 belia dan warga emas Orang Asli berjaya melepasi ujian memandu yang dilaksanakan JPJ Raub.


JPJ dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Koyan turut mengadakan pertandingan motosikal klasik membabitkan penyertaan lima motosikal Honda C70 klasik di kalangan warga emas.


Sumber : Utusan Malaysia

1 comment:

  1. Assalamulaikum Dato' Semiga berbahagia. Selamat datang ke laman blog kampung kami. Klik http://kampungmela.blogspot.com/

    ReplyDelete