Friday, June 5, 2009

Generasi muda perlu diberi kefahaman mengenai ideologi komunis



KUALA LIPIS 31 Mei - Pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan bekas tentera perlu berperanan lebih aktif untuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai bahaya ideologi komunisme dan kekejaman Chin Peng.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan yang pernah melalui zaman Darurat 1948 dan tragedi 13 Mei 1969 boleh memberi pemahaman berasaskan fakta sebenar sejarah tanah air.

''Sejarah tidak pernah berbohong dan membuktikan bahawa kekejaman Chin Peng telah mengorbankan ramai askar, orang awam dan kemusnahan harta benda ketika darurat," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama penduduk di Felda Sungai Koyan Dua, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan sebanyak RM42,000 kepada 20 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), sekolah, masjid, surau dan tok batin Orang Asli.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menegaskan, cubaan pihak tertentu untuk mengiktiraf kembali Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya meminta kerajaan membawa pulang setiausaha agung parti itu merupakan satu penghinaan kepada bekas tentera di negara ini.

Katanya, hujah pihak tertentu dan parti pembangkang merupakan sentimen perkauman yang berselindung di sebalik kepentingan politik masing-masing yang boleh mengancam keselamatan negara.

''Mereka yang menggembar-gemburkan isu membawa pulang Chin Peng atas dasar kemanusiaan, kita anggap buta sejarah, mereka tidak mengambil kira perasaan kaum lain dan bekas tentera serta polis,'' tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan amat peka dengan mainan politik pembangkang sekali gus menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air.

Katanya, Chin Peng bukan ikon sebaliknya pengganas yang membunuh ribuan rakyat tidak berdosa selain memusnahkan harta awam ketika darurat di negara ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM42,000 untuk perbelanjaan pengurusan JKKK, masjid, surau, penduduk Orang Asli dan kecemerlangan akademik sekolah di kawasan DUN Jelai pada tahun ini.

Katanya, setiap penerima memperoleh bantuan bernilai antara RM5,000 dan RM10,000 yang dipohon menerusi pejabat wakil rakyat di sini baru-baru ini.

''Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang meluluskan peruntukan itu untuk pengurusan organisasi, kecemerlangan akademik pelajar dan pembangunan modal insan penduduk luar bandar," katanya.

Beliau menambah, penerima bantuan berkenaan wajar mengurus perbelanjaan kewangan secara berhemah dan memberi keutamaan kepada keperluan untuk pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti yang terancang.

Sumber : Utusan Malaysia

Respon Rakyat-Evolusi Jambatan

Dipetik dari laman blog : http://putra745.blogsome.com/2007/10/08/

Kali ni aku nak share pengalaman aku berada di "belantara" ni yang dah pun masuk tahun ke-4… sejak 2004… evolusi dem evolusi aku lalui atau hadapi… especially aku nak citer pasal jambatan gantung…

Untuk sampai ke sekolah ini kita perlu lalui 2 jambatan gantung dan 7 titi yang uzur… sejak sebermula posting aku… aku kena jalan kaki… walaupun tak seteruk zaman sebelum 2000… tapi adventure tetap ada dan lebih kurang jer… So, aku lebih nak expose pasal jambatan gantung yang pertama… dan kini telah pun berubah wajah dan keadaan.


Januari 2004 - Mac 2005 (2 kali runtuh)


Mac 2005 - Oktober 2006 (Dua kali runtuh)


November 2006 - Oktober 2007 (3 kali senget dan sekali runtuh)


Siap 30 September 2007

Setelah beberapa kali buat permohonan dengan YB ADUN Jelai… barulah kami cikgu-cikgu dan penduduk di sini menikmati pembangunan… membangun ke ??? Cuma masih tingggal lagi jalan denai yang sejauh lebih kurang 12km yang masih perlu kami lalui… dan jambatan gantung di sekolah ini…

Tanah Terbiar Dimajukan


KUALA LIPIS - Kerajaan Pahang akan memajukan tanah terbiar seluas 240 hektar di Jelai dekat sini, dengan projek tanaman makanan pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu bertujuan merangsang pendapatan petani dengan mengusahakan tanaman berasaskan konsep 'satu rumah satu produk'.

Beliau berkata, seramai 100 petani miskin di Tanjung Gahai, Kuala Koyan, Kuala Medang, Sungai Ular, Kuala Serau dan penempatan Orang Asli akan terlibat dengan projek berkenaan.
Katanya, projek itu merupakan mekanisme kerajaan untuk meningkatkan pendapatan petani miskin dan mengurangkan beban belanja keperluan dapur berikutan kenaikan harga barang di pasaran.

''Menerusi projek itu, kita menyasarkan seorang petani mampu meraih pendapatan sehingga RM800 sebulan manakala pengusaha berkelompok boleh mencapai RM5,000 sebulan menerusi pasaran hasil pertanian untuk menampung keperluan perbelanjaan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bumi Hijau peringkat daerah di Pusat Agropolitan Tanjung Gahai dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah RISDA Pahang, Datuk Mujahid Mohamad; Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Mohd. Fuad Mohd. Shariff dan Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak.

Menurut Wan Rosdy, projek perintis tanaman makanan ialah di Pusat Agropolitan Tanjung Gahai, melibatkan kawasan tanah terbiar seluas 14 hektar yang diusahakan dengan nanas.

Sehubungan itu jelas beliau, modus operandi memajukan tanah tersebut akan diperluaskan ke kampung-kampung lain.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Haiwan, Risda dan Felcra untuk menjayakan projek berkenaan.

''Kejayaan ini juga terletak di bahu petani menerusi perubahan sikap dan usaha gigih melaksanakan sesuatu projek pertanian kerana kerajaan telah menyediakan bantuan baja, racun dan kepakaran," katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek tanaman makanan itu mampu dijadikan sebagai industri hiliran yang menjana perusahaan kecil dan sederhana di daerah ini.

JPJ Redah Hutan Beri Lesen





KUALA LIPIS 7 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mempunyai mekanisme khusus untuk memberi peluang kepada Orang Asli di pedalaman negeri ini memiliki lesen memandu dan kemudahan lain.


Meskipun Orang Asli tinggal jauh di pedalaman, mereka terus diberi peluang menikmati kemudahan memiliki lesen kenderaan bagi keperluan mereka.


Sejajar dengan pertambahan jumlah kenderaan bermotor dan kuasa beli mereka terhadap kenderaan semakin meningkat, kerajaan negeri dan JPJ mengambil alternatif melaksanakan program ujian memandu di kalangan Orang Asli dan warga emas daerah Lipis.


Sehubungan itu, JPJ mengadakan Program Bersama Rakyat (PBR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di sini baru-baru ini, bagi memberi peluang kepada Orang Asli di kawasan terbabit memiliki lesen memandu.


Menurut Tok Batin Orang Asli Kampung Betau, Ahmad Selalu, kerajaan menerusi JPJ perlu lebih kerap mengatur program latihan dan ujian pemanduan kepada Orang Asli di pedalaman negeri ini.


''Jarak yang jauh ke bandar dan kos yang tinggi menyukarkan Orang Asli berurusan dengan sekolah memandu di bandar Kuala Lipis dan Raub dan kekerapan ujian memandu perlu dilaksanakan di pekan Sungai Koyan," katanya.


Ahmad berkata, ramai belia Orang Asli termasuk warga emas yang mampu memiliki motosikal memerlukan lesen untuk memudahkan mereka ke bandar bagi membawa hasil kampung dan menghantar anak ke sekolah.


Seorang warga emas Orang Asli, Bah Si a/l Bah Ingar, 54, berterima kasih kepada JPJ yang meluluskan ujian memandunya dan menyifatkan ia sebagai lembaran baru dalam hidupnya.
''Sebelum ini, saya berjalan kaki berulang alik sejauh 12 kilometer untuk berbelanja di pekan Sungai Koyan dari kampung pedalaman, tetapi setelah memiliki lesen, saya akan membeli sebuah motosikal baru untuk berurusan di luar," katanya.


Bapa kepada 11 anak itu berkata, dia juga tidak pernah terbayang untuk memperoleh lesen memandu malahan tidak berhajat untuk memiliki motosikal kerana lebih selesa berjalan kaki ke pekan Sungai Koyan dan tempat lain.


Seorang lagi penduduk Orang Asli Kuala Koyan, Sabri a/l Sigon, 36, berkata, kemudahan jalan raya yang sudah sampai ke kampung mereka dan penggunaan motosikal pelbagai jenama telah membuka mata kaum minoriti itu untuk hidup selesa seperti kaum lain.


''Saya lega dan berterima kasih kepada pengajar sekolah memandu yang memberi tunjuk ajar dan pegawai JPJ yang meluluskan ujian ini. Saya gembira kerana telah menyahut kempen JPJ untuk mengambil lesen motosikal," katanya.


Beliau menambah, memiliki lesen itu memudahkannya menunggang motosikal ke merata tempat berbanding sebelum ini menaiki bot menyeberang Sungai Jelai dan menaiki bas jika berurusan di bandar Lipis dan Raub.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program turun padang JPJ di DUN Jelai untuk menyedarkan orang ramai khususnya Orang Asli supaya memiliki lesen memandu dan mengetahui peraturan keselamatan jalan raya.


Sehubungan itu, beliau meminta Orang Asli yang memiliki lesen memandu supaya lebih berhemah dan bertimbang rasa ketika memandu dan menunggang motosikal semasa di jalan raya termasuk di jalan kampung.


''Jangan hanya tahu menunggang motosikal dan memandu kereta tetapi tidak tahu peraturan jalan raya. Ini menunjukkan sikap yang tidak sesuai bagi penduduk di negara yang sudah maju seperti Malaysia," katanya.


''Kedudukan tempat tinggal yang jauh di pedalaman yang melebihi 80 kilometer dari bandar menyebabkan kerajaan dan JPJ terpanggil untuk menyediakan pengendalian ujian memandu dengan kerjasama konsortium sekolah memandu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan lesen memandu P kepada Orang Asli di DUN Hulu Jelai baru-baru ini.


Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menjelaskan, kerajaan telah menjalankan tanggungjawabnya dengan mewujudkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan mengadakan pelbagai kempen menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan jalan raya.
''Kini tanggungjawab pemandu sendiri untuk mematuhi setiap peraturan dan undang-undang iaitu memakai topi keledar dan tali pinggang demi keselamatan masing-masing dan keluarga," katanya.


Pada majlis itu, seramai 143 belia dan warga emas Orang Asli berjaya melepasi ujian memandu yang dilaksanakan JPJ Raub.


JPJ dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Koyan turut mengadakan pertandingan motosikal klasik membabitkan penyertaan lima motosikal Honda C70 klasik di kalangan warga emas.


Sumber : Utusan Malaysia

Thursday, June 4, 2009


RM40 juta bangun kemudahan asas Jelai

KUALA LIPIS 2 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM40 juta untuk membangunkan kemudahan asas termasuk bantuan kebajikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan besar itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baru berasaskan perniagaan, pertanian dan pelancongan di Jelai.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan projek premis perniagaan di Pekan Sungai Koyan, jalan raya, jalan kampung, dewan, pusat komunikasi teknologi maklumat (ICT) desa, balai raya, jambatan Tanjung Gahai, terminal bas, pusat rekreasi dan projek penempatan serta ladang bagi penduduk termiskin di Tanjung Gahai, di sini.

''Semua kemudahan itu telah siap dan dinikmati penduduk kecuali premis perniagaan di Pekan Sungai Koyan yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.
''Perubahan ini memberi keselesaan penduduk luar bandar termasuk Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian dan membawa hasil kampung ke bandar selain menjana pusat pelancongan inap desa di Kuala Medang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan Orang Asli di Sungai Koyan, dekat sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek-projek terbabit telah mengubah wajah Hulu Jelai yang selama ini terpinggir.

Menurutnya, projek pembangunan itu merupakan tanggungjawab sosial untuk menjaga kebajikan penduduk di samping menaik taraf kawasan luar bandar dengan pembangunan moden setaraf kawasan lain.

''Kita juga mengagihkan bantuan kepada golongan warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim untuk membiayai kebajikan, pendidikan dan peluang perniagaan," jelasnya.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan itu sejajar dengan aspirasi 1 Malaysia bagi memberi keselesaan dan mengubah kehidupan rakyat pelbagai kaum menerusi peluang tertentu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak keliru gagasan 1 Malaysia yang kini cuba diputarbelitkan serta disamakan dengan 'Malaysian Malaysia' yang dicetuskan sebuah parti pembangkang.

''Adalah menjadi tugas pemimpin di semua peringkat untuk menjelaskan konsep 1 Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penduduk bagi menepis dakyah pihak tertentu yang berkepentingan politik," katanya.

Menerusi konsep 1 Malaysia, tambahnya, penduduk akan lebih bersatupadu dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memudahkan kerajaan meneruskan usaha pembangunan pada masa akan datang.