Thursday, June 4, 2009


RM40 juta bangun kemudahan asas Jelai

KUALA LIPIS 2 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM40 juta untuk membangunkan kemudahan asas termasuk bantuan kebajikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan besar itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baru berasaskan perniagaan, pertanian dan pelancongan di Jelai.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan projek premis perniagaan di Pekan Sungai Koyan, jalan raya, jalan kampung, dewan, pusat komunikasi teknologi maklumat (ICT) desa, balai raya, jambatan Tanjung Gahai, terminal bas, pusat rekreasi dan projek penempatan serta ladang bagi penduduk termiskin di Tanjung Gahai, di sini.

''Semua kemudahan itu telah siap dan dinikmati penduduk kecuali premis perniagaan di Pekan Sungai Koyan yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.
''Perubahan ini memberi keselesaan penduduk luar bandar termasuk Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian dan membawa hasil kampung ke bandar selain menjana pusat pelancongan inap desa di Kuala Medang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan Orang Asli di Sungai Koyan, dekat sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek-projek terbabit telah mengubah wajah Hulu Jelai yang selama ini terpinggir.

Menurutnya, projek pembangunan itu merupakan tanggungjawab sosial untuk menjaga kebajikan penduduk di samping menaik taraf kawasan luar bandar dengan pembangunan moden setaraf kawasan lain.

''Kita juga mengagihkan bantuan kepada golongan warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim untuk membiayai kebajikan, pendidikan dan peluang perniagaan," jelasnya.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan itu sejajar dengan aspirasi 1 Malaysia bagi memberi keselesaan dan mengubah kehidupan rakyat pelbagai kaum menerusi peluang tertentu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak keliru gagasan 1 Malaysia yang kini cuba diputarbelitkan serta disamakan dengan 'Malaysian Malaysia' yang dicetuskan sebuah parti pembangkang.

''Adalah menjadi tugas pemimpin di semua peringkat untuk menjelaskan konsep 1 Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penduduk bagi menepis dakyah pihak tertentu yang berkepentingan politik," katanya.

Menerusi konsep 1 Malaysia, tambahnya, penduduk akan lebih bersatupadu dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memudahkan kerajaan meneruskan usaha pembangunan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment